Pages

Tuesday 27 May 2014

UMRAH 2014 Part 4 - Perjalanan Ibadah Umrah dan Ziarah (Mekah)

Assalamua’laikum,

Maaf la lambat sikit update. Ada masalah dengan line internet…

Kita sambung cerita daripada entri sebelum ni. Kali ni catatan perjalanan ke Mekah pulak. Setelah 3 hari berada di Madinah, kami semua akan pergi menuju Mekah untuk menunaikan umrah. Umrah start di Mekah tau, bukan di Madinah. Asalnya nak bertolak selepas Subuh. Tapi bila fikir2 kemungkinan seperti tak sempat nak bersiap dan kesesakan bila tiba di Mekah, kami semua berpakat untuk ke Mekah selepas Zohor.

Kami akan ambil miqat di Zulhulaifah, kira-kira 30 minit perjalanan dari Madinah. Miqat adalah tempat yang telah ditentukan untuk berniat umrah, dan bagi jemaah yang datang dari Madinah macam kami, miqat untuk berniat umrah adalah di masjid Bir Ali, Zulhulaifah. Sebelum sampai ke miqat tersebut, kami disunatkan mandi sunat ihram dan berpakaian ihram. Lelaki kena pakai kain putih dan tidak menutup kepala. Bagi perempuan, boleh pakai selain putih, asalkan menutup aurat. Saya pakai baju jubah biasa ja, pastu pakai telekung putih. Dalam buku ada tulis disunatkan pakai wangi-wangian sebelum niat ihram kan. Tapi dalam ihram tak boleh berwangi-wangian. Bagi yang nak pakai jugak, nak ambik pahala sunat, pakai la selepas mandi sunat ihram. Tapi make sure bau wangi tu dihilangkan sebelum niat ihram ye.

Niat
Then semasa tiba di masjid Bir Ali, tersangat la ramai jemaah umrah yang berniat miqat di sini. Tanpa berlengah, kami masuk ke dalam masjid untuk solat sunat ihram. Dalam menghadapi keadaan orang yang ramai, kami terpaksa bersesak2 dan semestinya sabar tu kena sentiasa ada. Anggaplah kesusahan yang dialami itu sebagai ujian dari Allah.

Selepas solat sunat tahiyatul masjid, kami buat solat sunat ihram. Selepas tu, baru NIAT umrah. Niat ni mesti dalam hati, tak aci kalau sebut ja. Kami niat masing2 selepas solat. Tapi dalam bas, Pakcik Ilias akan ulang lagi niat untuk semua jemaah agar tiada yang ketinggalan. Kalau tak niat umrah, kena bayar dam.
~update: dam bagi yang tidak berniat=sembelih seekor kambing~

Bagi saya sebagai perempuan, saya buat niat bersyarat. Takut2 datang haid sebelum habis umrah, tergantung la dalam ihram selagi tak suci. Lebih2 kalau tak sempat suci sampai hari nak balik… kena dam. Niatnya macam ni:

“Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala. Dan sekiranya aku didatangai haid, maka aku menjadi halal.”

So, kalau datang haid sebelum habis umrah, kita akan terlepas daripada pantang larang umrah dengan sendirinya tanpa perlu bertahallul. Kalau niat tak da syarat, datang haid, maka kita akan tergantung dalam ihram selagi kita tak bertahallul (bercukur/bergunting). Bagi perempuan yang dah sedia dalam haid sebelum niat, tetap kena niat jugak di miqat. Dia kena patuhi semua pantang larang ihram sampai la dia suci, then dia buat umrah iaitu tawaf dan tahallul, baru la dia terlepas dari ihram.

Perempuan belum haid
semasa di miqat
Niat umrah bersyarat. Kalau datang haid sebelum atau semasa tawaf, dia menjadi halal (lepas dari pantang larang ihram).
Perempuan sedang haid
semasa di miqat
Tetap kena niat (tak kisah la bersyarat atau tak). Tunggu sampai suci, baru selesaikan umrah: tawaf dan bergunting.

Jelas tak? Err macam bagi lecture la pulak huhu. Saya pun baru belajar, kalau ada yang tersilap, mintak2 ada la yang tolong bagitau ye… Orait, dah niat bermaksud kami dah sempurnakan rukun umrah yang pertama. Ada lagi 4 rukun yang perlu disempurnakan.

Sebelum ni saya ingat Bir Ali dengan Mekah ni kejap je. Jalan kaki dah boleh sampai haha. Rupa2nya perjalanannya macam Alor Setar pergi KL kot, lebih kurang 7 jam. Kami bertolak selepasa Asar, so dijangka sampai dalam pukul 10 malam. Dalam bas semua jemaah disunatkan bertalbiah secara berjemaah. Ada la beberapa wakil jadi ketua bacaan talbiah. Cuba hayati maksud talbiah tu, saya pasti ada air mata yang mengalir…

Alhamdulillah, dari dalam bas, saya dah nampak menara jam besar tu. MasyaAllah, SubhanAllah!!! Saya dah nak sampai Tanah Haram Mekah! Tak sabarnya nak tengok Ka’bah… Jemaah2 lain pun pakat excited bila dapat tau bas nak masuk Tanah Haram.

Jalan nak masuk Mekah sangat sesak setiap masa, sebab jemaah datang tidak kira masa. Ahamdulillah kami sampai di tempat penginapan kami di Hotel Dhiyafat Al’Mu’tamireen di area Misfalah dalam pukul 11.30 malam. Kami tunggu kejap, nak uruskan bilik. Dapat je kunci bilik, semua pergi bersihkan diri, sebelum tunggu di lobi untuk selesaikan ibadah umrah.
Bagi yang menggunakan kerusi roda, macam Abah, waris sendiri tak boleh tolakkan. Kena bagi orang sana yang tolakkan. Then kena bayar upah SAR150. Diorang akan tolong tolak dari hotel, buat tawaf, sa’ei dan tolak balik ke hotel.

Bagi yang tiada keuzuran, kami berjalan kaki bersama2 ke MasjidilHaram. Masa ni habuk banyak terutamanya asap kereta. Tapi jangan lupa ye kaum perempuan tak boleh guna topeng muka, sebab ia antara larangan dalam ihram. Begitu juga ambik kain telekung ke buat tutup hidung.. tutup hidung dengan tangan pun tak boleh tau. Kaum lelaki ja boleh.

Dalam hati, saya sangat berdebar2. Teruja pun ada, takut pun ada. Takut tak dapat menunaikan umrah dengan sebaik mungkin dan takut tak diterima Allah. Terlalu banyak dosa yang saya dah buat selama saya hidup ni. Harapan saya ke Tanah Suci ni agar mendapat keampunan dan juga keredhaan dari Allah, itu yang menjadi tujuan utama saya ke sini.

Masa berjalan dalam masjid ni ada banyak tempat yang sediakan tong air zamzam. Ada jenis biasa dan sejuk. Jangan lupa baca doa sebelum minum air zamzam tau. Sebelum tawaf, kami semua minum dulu, untuk tambahkan tenaga…

Bila dapat melihat Ka’bah, MasyaAllah! Alhamdulillah, tiada kata yang mampu diluahkan untuk menggambarkan perasaan saya. Selama ni saya tengok kat TV, kat gambar, tapi kali ni ia berada di depan mata. Terlalu indah dan syahdu… Itu lah yang seharusnya menjadi tumpuan para jemaah umrah, bukannya menara jam yang besar dan tinggi melangit tu..


## opss.. Mesti ramai yang kata: kata tumpuan mestilah kepada Ka'bah, bukannya menara jam tu kan? Kenapa gambar menara jam tu yang diambil, bukan gambar Ka'bah? Saya sebenarnya dah banyak kali keluarkan hp, nak ambil gambar Ka'bah. Tapi entah la.. Allah gerakkan hati saya supaya jangan ambil gambar. Lagipun saya rasa, kalau nak tengok, lebih baik tengok sendiri depan mata..

Tawaf
Saya dan para jemaah pun tanpa berlengah terus menuju ke kawasan tawaf. Masa ni jam lebih kurang pukul 12.30 pagi. Jadi orang tak berapa ramai, tak la sesak sangat. Kami bermula tawaf di penjuru Hajarul Aswad yang ditanda dengan garisan di lantai dan lampu hijau di atas. Kat sini kena niat tawaf. Oh ya, jangan lupa ambil wuduk tau sebab ia adalah syarat sah tawaf. Saya sentiasa berdoa agar Allah kekalkan wuduk saya, sebab kalau nak ambil wuduk, kena keluar dari masjid. Toilet agak jauh, ke bawah tanah. Kalau rasa terbatal, kena berwuduk semula dan buat pusingan tawaf yang terbatal tu.

Antara nasihat ketika tawaf ialah sentiasa pastikan aurat tertutup. Bagi perempuan, tangan mesti ada dalam telekung. Bukan apa, takut2 tersentuh kulit lelaki bukan muhrim. (kadang tersentuh tangan, kadang tu tersentuh bahu, so, hati2 dengan tangan sendiri dan muka).Tak boleh guna sarung tangan sebab pantang larang ihram. Masa istilam (melambai2 ke arah rukun Hajarul Aswad dan Rukun Yamani), pastikan lengan tak terselak ye. Saya takut terpisah dengan jemaah lain, saya pegang tangan mak. Kena jaga2 sikit la sebab tangan di luar telekung.

Masa tawaf ni, saya baca doa yang dalam buku panduan umrah, sekali dengan maksudnya. Sebab saya rasa kalau nak mintak sesuatu, mesti la kena tau apa yang kita mintak kan? Lepas baca doa tu, saya pun mintak la apa2 pun dengan Allah sebab antara tempat mustajab berdoa adalah ketika melakukan tawaf. Doa yang dipohon akan diangkat terus tanpa hijab, InsyaAllah. Tapi kalau tak nak baca apa2 pun, tak pa. Kat sini saya dan jemaah lain akan sentiasa jaga keselamatan diri masing2 agar tak dirempuh dan ditolak oleh jemaah2 lain yang jauh lebih besar dan tinggi.

Selesai 7 pusingan, maka selesailah rukun umrah yang kedua. Kami semua pergi ke belakang sedikit, di luar kawasan tawaf untuk bersolat sunat tawaf. Tak dapat nak solat di Makam Ibrahim sebab dah jadi kawasan tawaf. Selesai berdoa, kami menuju ke bukit Safa pula untuk melakukan sa’ei.

Sa’ei
Jalan nak ke tempat sa’ei ni ada ditunjuk oleh papan tanda: TO MAS’A dan jugak jalan berwarna hijau. Tak jauh pun dari dataran tawaf. Tapi sebab sekarang musim renovation, agak bersimpang-siur jugak la. Berbanding dengan tempat tawaf iaitu Ka’bah yang berbumbungkan langit, kawasan sa’ei adalah tertutup dan ada aircond! InsyaAllah agak selesa dan tak panas.

Tapi cabarannya tetap ada… Nak ulang alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah 7 kali tu lebih kurang 2.8 km. Jauh dan penat, lebih-lebih lagi buat sapa2 yang tak biasa jalan jauh, macam saya hehe. Kat sini tak perlu nak lari2 or cepat2. Ikut keselesaan masing2. Tapi dah kita ni mengikut orang, kena agak2 la kalau nak lambat pun. Kang tertinggal, menangis lak huhu.

Kami mula sa’ei dengan berniat di Bukit Safa, dengan menghadap Ka’bah. Lebih afdhal kalau boleh nampak Ka’bah tu. Tapi saya tak nampak pun sebab terlindung dengan papan2 construction. Dah niat, boleh la teruskan berjalan menuju ke Bukit Marwah. Ha kat sini pakat jalan masing2. Sebab ada yang nak cepat sampai, ada yang nak jalan rilek2. Saya berjalan berdua dengan mak, buat pelan2 ja. Jam waktu ni pun lebih kurang pukul 2 pagi. Letih perjalanan dalam bas tadi pun belum habis… Selesai nanti, semua tunggu kat Bukit Marwah. So, tak da la yang tertinggal.

Bacaan masa sa’ei pun tak ditetapkan. Boleh nak baca apa pun. Saya ada 2 buku yang doanya berbeza. Jadi lepas baca 1 doa, saya baca lagi 1 doa. Tak nak baca apa2 pun ok. Jalan je ulang-alik, tak da masalah apa. Cuma kalau baca doa, dapat pahala lebih.

Nasihat saya satu ja. Jangan beria2 nak posing kat laluan sa’ei tu. Kena ingat yang kita sedang buat ibadah. Masa ibadah mana boleh bersuka ria. Saya tengok ramai manusia seronok rakam kenangan masa sa’ei. Kebanyakannya dari negara luar la. Negara sendiri pun ada jugak tapi tak banyak. Memang tak da larangan… Tapi itu la.. ramai yang tak faham tujuan sebenar ke Mekah ni..

Tahallul / Bercukur
Dah selesai ulang alik sebanyak 7 kali dari Bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah, saya dan mak pun pergi ke tempat yang kurang orang di Bukit Marwah untuk bergunting. Orang perempuan akan bergunting sekurang2nya 3 helai rambut. Masa bergunting ni, sunat baca doa bertahallul.

Isu yang timbul ialah adakah sah bagi orang yang tolong guntingkan orang lain (contohnya A guntingkan rambut B) kalau beliau sendiri belum bergunting. Abah cakap tak boleh. Saya ada terbaca dalam internet pun kata tak boleh. Saya tak pasti pasal isu ni sebab tak jumpa dalam kitab yang betul2 kuat. So, ikut pendapat majoriti, si A kena bergunting dulu, sebelum guntingkan rambut si B. Contohnya, kalau saya nak tolong guntingkan rambut mak, saya kena gunting rambut saya dulu.

Tertib
Alhamdulillah. Dah selesai bergunting, maka lengkap lah sudah ibadah umrah. Tertib ialah semua kena ikut  step. Jangan pulak ada yang bergunting dulu baru tawaf. Ha itu belum selesai umrah ye.

Lepas semua dah selesai, kami berkumpul di satu tempat di bukit Marwah. Masa ni dah pukul 3.30 pagi kalau tak silap. Ada yang pilih nak stay sampai Subuh. Saya,mak dan beberapa jemaah lain rasa nak balik berehat dulu. Mak pun tak berapa sihat, asyik batuk2. Lagipun nak tanya khabar Abah yang selesai lebih awal dari kami sebab ada yang tolong tolakkan guna kerusi roda.

Keesokkan hari dan seterusnya, semua jemaah boleh la nak pergi masing2 untuk buat ibadah. Buat tawaf sunat ke, nak iktikaf ke, nak qiamullail ke, semua tu terpulang. Cuma nak ulang umrah, kena pergi naik teksi untuk berniat di miqat Tana’im (± 6 km dari MasjidilHaram), Ja’ranah (± 22 km dari MasjidilHaram) atau Hudaibiyah (± 29 km dari MasjidilHaram). Kami ambil miqat terdekat ja iaitu di Tana’im.

Berikut adalah amalan2 yang selalu diamalkan dan amat dianjurkan semasa berada di Mekah dan Madinah:

1.Solat jenazah
Saya boleh jamin setiap waktu mesti ada yang meninggal dunia di Mekah. Oleh itu, kita disunatkan untuk turut serta dalam solat jenazah. Tak perlu ikut saf sebab lepas solat ramai yang bangun keluar saf. Stay ja kat tempat solat kita. Berdiri, niat, takbir ikut imam dan salam.

2.  Waktu2 Haram Solat Sunat
Di Tanah Haram Mekah, kita boleh solat sepanjang masa, tak kira waktu yang diharamkan seperti di Tanah Halal iaitu:
  1. Ketika naik matahari hingga kadar segalah
  2. Waktu rambang tengah hari kecuali hari Jumaat
  3. Selepas solat Subuh sehingga naik matahari
  4. Selepas solat Asar sehingga masuk matahari
  5. Waktu kekuningan matahari sehingga tenggelam
Tapi kat Tanah Haram Madinah, still diharamkan solat sunat pada waktu2 di atas. Hanya Tanah Haram Mekah saja dibolehkan.
3.  Tawaf Sunat
Ibadah ni mempunyai nilai yang amat tinggi jika dibandingkan dengan ibadah2 sunat lain di Mekah. Jika boleh, lakukan tawaf sunat sekerap yang boleh semasa di MasjidilHaram. Tatacaranya seperti tawaf umrah tapi berbeza pada niatnya saja. Pantang larang ihram pun tiada masa tawaf sunat.
4.  Qiamullail
5.  Membaca dan khatam al-Quran
6.  Solat2 sunat seperti solat sunat rawatib, solat tahajjud, solat hajat dan sebagainya
7.  Sujud Syukur
Saya selalu buat sujud syukur setiap kali ada benda baik terjadi. Contohnya saf yang sempit atau ada jemaah yang mengganggu kawasan sujud. Apabila Allah makbulkan doa agar segala urusan ibadah kita dipermudahkan, ucapkan lah ‘Alhamdulillah’ dan buat sujud syukur.


Hari ke5 di Mekah, jemaah semua dibawa melawat sekitar Mekah. Antaranya Jabal Nur, Jabal Rahmah (tempat favorite jemaah, berhenti 30 minit kot), Arafah, Mina, Ja’ranah, Gua Hira’ (tengok dari bawah je) dan Perkuburan Ma’la. Masa ni ramai la yang ambik peluang beli cenderamata untuk dibawa pulang. Saya ambik gambar sikit je.. Yang kiri kanan bawah sekali tu, masa kat Jeddah, dalam perjalanan nak pulang. Kami singgah ja, tak boleh masuk sebab pintu berkunci…

Itu saja coretan kembara umrah saya pada kali ini. Alhamdulillah, segala puji hanya pada Allah yang telah memilih saya sebagai tetamunya. Saya rasa ramai yang menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah. Namun saya rasa bertuah sangat dapat peluang ke sini. Alhamdulillah juga, saya, Mak dan Abah tak mengalami sakit yang teruk. Demam dan batuk tu biasa la bagi semua jemaah umrah.

Kini, visa umrah terpaksa dikurangkan kerana penyakit MERS-CoV yang sedang melanda Arab Saudi. Selang beberapa hari kami pulang ke Malaysia, terdapat seorang jemaah Malaysia telah meninggal dunia kerana penyakit tersebut. Selepas tu, angka korban penyakit tu semakin membimbangkan sehingga ramai bakal jemaah dinasihatkan oleh kerajaan agar menangguhkan hasrat ke Mekah. Alhamdulillah aturan Allah Maha Cantik. Kami semua selamat pergi dan pulang tanpa sebarang tempias penyakit itu. Alhamdulillah syukur!

InsyaAllah segala yang terjadi pasti ada hikmah dan nikmat yang kita tak tahu. Saya sentiasa berdoa di sana agar saudara mara, kawan2 dan sesiapa juga yang berhajat untuk ke sini, agar diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Haram Mekah dan Madinah.


Dan semoga catatan kembara umrah saya ini dapat menjadi panduan kepada sesiapa yang ingin menunaikan umrah. Dan juga panduan untuk saya sendiri untuk ke sana lagi, insyaAllah. Kalau ada salah dalam info saya ni, harap2 ada yang sudi reply bagitau ye. Terima kasih!




No comments:

Post a Comment